Arsenal beli Torreira

Arsenal beli Torreira

LONDON: Usaha Unai Emery membaikpulih Arsenal akan berterusan minggu depan apabila kelab itu dalam peringkat terakhir perbincangan bagi mendapatkan pemain tengah Uruguay, Lucas Torreira dengan harga 25 juta pound (RM133.13 juta).

Yuran perpindahan dengan Sampdoria itu semakin hampir dipersetujui dan dijangka akan diumumkan selepas Uruguay menamatkan kempen Piala Dunia di Russia.


Torreira bermain dalam keseluruhan perlawanan Uruguay yang menewaskan Portugal 2-1 awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.

Minggu lalu, Presiden Sampdoria, Massimo Ferrero mengesahkan bahawa Torreira dijangka akan meninggalkan kelab itu.

"Torreira akan meninggalkan kelab dengan nilai 30 juta euro (RM141.6 juta)," kata Ferrero kepada televisyen Itali, Sportitalia.

"Saya membelinya dari Pescara ketika tiada siapa mempercayainya. Kami membuat pertaruhan terhadapnya dan kami menang, hanya membayar 3 juta euro (RM14.16 juta). Wang yang kami terima amat diperlukan untuk meningkatkan kemampuan kewangan kelab.

"Jika kami mendapat tawaran besar untuk sesiapa, saya akan menerimanya, tetapi kami tidak perlu menjual pemain kami dengan harga yang murah."

Ia hadir selepas Arsenal bersedia mengumumkan ketibaan pemain bernilai 17 juta pound (RM90.53 juta), Sokratis Papastathopoulos dari Borussia Dortmund.

Pemain Greece itu sudah melengkapkan ujian perubatan di kelab berkenaan.

Arsenal sudah mendapatkan penjaga gol Bayer Leverkusen, Bernd Leno dengan nilai 19 juta Pound (RM101.18 juta) dan pemain berusia 34 tahun Switzerland, Stephan Lichtsteiner menerusi perpindahan percuma dari Juventus. - Agensi


sumber : bharian.com

close
== [ Close ]==