Neymar kembali mengancam temu Mexico: Tite

Neymar kembali mengancam temu Mexico: Tite

SAMARA, Russia: Jurulatih Brazil, Tite berkata, Neymar akan kembali ke prestasi terbaiknya ketika juara lima kali itu bertemu Mexico bagi perebutan tempat ke suku akhir Piala Dunia, esok.

Neymar tampil dengan persembahan longlai pada permulaan kejohanan di Russia, menonjolkan kehebatan skil tetapi mengundang kritikan berikutan tindakannya yang sering merebahkan badan bagi memperoleh penalti.


Penyerang Paris Saint-Germain itu memperoleh semula sentuhan jaringan ketika bertemu Costa Rica dan membantu Thiago Silva ketika menewaskan Serbia 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Empat tahun selepas kekalahan memalukan 1-7 di tangan Jerman pada separuh akhir Piala Dunia di gelanggang sendiri, Brazil muncul sebagai salah satu pasukan pilihan yang masih meneruskan persaingan.

Tite berkata, Neymar ketika ini lebih daripada bersedia sekalipun baharu pulih daripada kecederaan jangka panjang sebelum kejohanan di Russia membuka tirainya.

"Ketika ini, dia sudah kembali ke tahap terbaik," kata Tite.

"Dia banyak bermain... Saya memberitahunya dan dia mengetahuinya, mengenai 'harga' yang diperlukan untuknya kembali ke tahap ini.

"Kami tahu dia perlu bermain dalam beberapa perlawanan tapi dia sedang kembali."

Tite dalam pada itu mengesahkan kesebelasan utamanya menentang Mexico dengan menyenaraikan Filipe Luis bagi menggantikan Marcelo yang mengalami kecederaan ketika bertemu Serbia.

Sementara itu, pertahanan Brazil, Thiago Silva berharap Neymar dapat mengikut jejak langkah rakan sepasukannya di PSG, Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Angel Di Maria yang mengumpul lima gol antara mereka pada aksi 16 terakhir, semalam.

Begitupun, dia sedar dengan ancaman Mexico, pasukan yang menundukkan penyandang juara Jerman pada peringkat kumpulan dengan penyerang, Javier Hernandez dilabel pemain paling berbahaya. - AFP

close
== [ Close ]==